PETALING JAYA: Syarikat GoodMorning Global Group Holdings Berhad berjaya mengeluarkan produk daging berasaskan tumbuh-tumbuhan untuk memenuhi sektor makanan di negara ini.

Pengerusi Eksekutif dan Pengasasnya, Datuk Dr. Lim Sin Boon berkata, produk daging yang dikenali sebagai WonderMeat itu dihasilkan dengan penyelidikan dan inovatif bioteknologi buatan tempatan.

Katanya, produk makanan yang didatangkan dalam bentuk serbuk dan dibuat mengikut standard halal itu turut tersenarai dalam Buku Rekod Malaysia selepas menjadi produk tunggal berasaskan tumbuh-tumbuhan keluaran tempatan.

"Kami mahu menyediakan produk makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan untuk keperluan di negara ini dengan mengikut standard piawaian tinggi termasuk menerusi pengiktirafan sijil halal.

“Selain itu apa yang penting penggunaan teknologi dalam penghasilan makanan memberi ruang ke arah penambahbaikan segala aspek bagi sektor terlibat,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Tambah Sin Boon, WonderMeat bukan sekadar produk makanan, malah bakal menjadi satu lonjakan ke arah masa depan yang mampan.

“Produk ini dibuat dengan mengikut piawaian teknologi makanan bakal membuka jalan bagi kehidupan yang lebih sihat dan lengkap.

“Paling penting kita mahu memastikan pengeluaran karbon dapat diminimumkan. Ia sekaligus menandakan era baharu dalam inovasi kulinari,” jelasnya.

WonderMeat diperbuat daripada soya dan kacang pis serta kaya dengan serat makanan dan protein selain 28 jenis vitamin serta mineral bagi memastikan pemakanan yang lengkap dalam setiap hidangan.

Dilaporkan oleh: Utusan 27.11.2023